Ledakan Maklumat di Malaysia mula terasa. Pelancaran MEASAT pada 13 Januari 1996 lalu adalah bukti yang nyata. Segalanya berpunca daripada Teknologi Maklumat yang sedang berkembang. Teknologi Maklumat diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan dalam bidang mikroelektronik yang mengandungi perkembangan pelbagai teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Paling terserlah kemunculan Internet yang mempamerkan penggunaan jaringan informasi bersepadu sehingga boleh diaplikasikan sebagai bahan komunikasi multimedia, komponen yang melibatkan teks, bunyi, grafik, dan video. Persoalannya, bersediakah Bahasa Malaysia dan budaya menerima cabaran teknologi canggih ini?
Pada hakikatnya, Bahasa Malaysia dan budaya nasional sepatutnya menjadi lebih kukuh dan mantap dengan bentuk yang disempurnakan sehingga berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang wujud dalam kehidupan dan dapat berdiri sama teguh dengan bahasa-bahasa moden lain dalam menyahut cabaran Teknologi Maklumat kini dan pada masa hadapan. Apakah Bahasa Malaysia dapat mengekalkan kesinambungan status lingua franca dalam cabaran Teknologi Maklumat? Mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegaskan:
"Setiap tamaddun yang berdaya maju mempunyai sifat-sifat dinamis dan berubah apabila perubahan diperlukan. Tamadun yang tidak berubah yang beku dan tidak dapat membentuk cara, nilai dan amalan yang baik demi penyesuaian dan keperluan masa dan tempat akan mati dan luput."
Selaras dengan motto Persatuan Bahasa Malaysia - Mendukung Tradisi Intelektual, pihak PBMUSM merasa bertanggungjawab melontarkan persoalan yang agak ke hadapan kepada masyarakat umumnya dan kepada masyarakat Bahasa Malaysia khasnya sebagai satu langkah awal menghadapi cabaran abad 21.
Semoga dengan berlangsungnya seminar perdana ini, sedikit banyak cuba untuk menyingkap peranan Bahasa Malaysia dalam menghadapi cabaran Teknologi Maklumat dan sejauh manakah Bahasa Malaysia serta budaya nasiona dapat bersaing melangkah ke arah kecermerlangan.
Matlamat:
· Menjadikan Teknologi Maklumat sebagai medium dan saluran untuk mendaulatkan Bahasa Malaysia ke peringkat antarabangsa. |
· Menyedarkan dan menggerakkan belia ke arah memanfaatkan teknologi maklumat yang kian berkembang maju |
· Memperlengkapkan belia-belia yang bakal menjadi pemimpin dengan input-input yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan kesan terhadap bahasa kebangsaan dan budaya nasional |
· Sebagai satu medan ilmu untuk membincangkan bagaimana kaedah yang paling berkesan memastikan Bahasa Malaysia tidak terus terpinggir ketika medium untuk menonjolkan Bahasa Malaysia sudah terbentang di depan mata. |
· Berusaha agar Bahasa Malaysia dan teknologi maklumat mampu bergerak seiring sebagai alat perpaduan seluruh pengguna di dunia yang bahasa pengantarnya Bahasa Malaysia dalam rangkaian maklumat. |
· Berusaha agar semua pihak terlibat dalam membantu Bahasa Malaysia menembusi pasaran dunia dengan menggunakan teknologi maklumat sebagai saluran. |
· Berusaha meletakkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa yang utama digunakan dalam media maklumat dan menyedarkan serta menyakinkan masyarakat tentang keupayaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. |
· Penggunaan Bahasa Malaysia yang luas dalam teknologi maklumat seperti 'Homepage' membantu golongan rendah yang rata-ratanya menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa harian untuk sama-sama memperolehi dan tidak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat mengenai media maklumat. |
· Sebagai satu medan perbincangan berkaitan dengan implikasi dan kesan yang negatif terhadap budaya dan bahasa bangsa sekiranya teknologi maklumat disalahgunakan. |